TERKINI

2012, LATIFAH MULA BERLAKON SEMULA - TELEMOVIE 50/50

LATIFAH OMAR KEMBALI BERLAKON 
1. Harian Metro | 18 Disember 2012 
Oleh Roslen Fadzil 

Hampir 40 tahun tidak berlakon, akhirnya seniwati dan primadona filem Melayu, Latifah Omar, kembali semula ke dunia lakonan apabila muncul dalam telemovie 50/50 arahan Melissa Saila.



LATIFAH OMAR KEMBALI BERLAKON 
2. SINAR HARIAN | 27 Disember  2012

Kejelitaannya suatu ketika dahulu pernah menawan hati peminat sekitar era 50-an hingga 70an .Selepas kali terakhir muncul dalam filem Hati Batu pada 1973, Seniwati Latifah Omar terus meninggalkan dunia lakonan. 

Bagaimanapun, atas pujukan pelakon dan pengarah, Melissa Saila, aktres legenda tersebut setuju untuk muncul dalam telemovie 50/50 arahannya. Menurut Melissa, dia sememangnya menginginkan Latifah untuk memegang watak Azizah dalam telefilem yang bakal ditayangkan di RTM itu kelak. 

“Saya pernah menemu bual Aunty (gelaran untuk Latifah) dalam sebuah dokumentari khas Saloma tidak lama dulu. “Bermula dari situ, saya merasakan Aunty amat sesuai untuk memegang watak Azizah. Lalu, saya terus menawarkan watak itu kepadanya,” katanya ketika ditemui Zass. 

Usaha untuk memujuk Latifah, kata Melissa, bagaimanapun bukanlah mudah kerana seperti diketahui umum, pelakon berusia 73 tahun itu sudah lama meninggalkan dunia lakonan. “Mujurlah emak saya (Seniwati Mariani) mempunyai hubungan baik dengan Aunty. Malah, Aunty juga menyatakan dia terima tawaran ini untuk saya saja,” katanya yang menghasilkan drama tersebut di bawah produksi miliknya, Kus Semangat Aktor Sdn Bhd.

Berkongsi pengalaman bekerja dengan Latifah, menurut Melissa, dia amat mengagumi kehebatan pelakon itu. “Penglibatan Aunty hanya seketika sebagai undangan khas, namun dia tetap miliki aura tersendiri. Meskipun sudah lama tidak berlakon, dia tahu apa perlu dilakukan. Mungkin jiwa sebagai pelakon masih menebal dalam dirinya,” katanya.

Semarakkan semangat patriotik :

Dalam pada itu, Melissa turut berkongsi serba sedikit mengenai telemovie 50/50 yang mendapat sentuhan skrip suaminya, Megat Fauzi. “Telefilem ini mengisahkan seorang askar yang ditembak pada zaman sebelum merdeka dan koma. Selepas 50 tahun negara mengecapi kemerdekaan, barulah dia tersedar dan terkejut melihat perubahan berlaku,” katanya.

Mengetengahkan genre patriotik, kata Melissa, dia berdepan kesukaran pada mulanya untuk menerbitkan telemovie itu. “Saya hantar skrip ke beberapa stesen televisyen tapi ditolak. Alasannya, mereka anggap tema diketengah agak berat sehinggalah RTM terima skrip ini,” katanya.

Bagi Melissa, dia mempunyai alasan sendiri untuk mengangkat tema yang jarang diketengahkan. “Telemovie ini dihasilkan bukanlah untuk mengajar mengenai sejarah negara. Sebaliknya, saya hanya mahu semarakkan kembali semangat patriotisme dalam diri masyarakat terutamanya anak-anak muda,” akhirinya.

Selain Latifah, telefilem 50/50 turut dibintangi Ramli Hassan, Johan Asa’ari dan Dira Abu Bakar.

No comments:

Post a Comment